◕‿◕ ◕‿◕ ◕‿◕ ◕‿◕
Welcome Buddies !
Hello and welcomes to Tokoh Sejarah a.k.a Tokoh Dalam Kenangan. Hope this informations can helps you.May leave you linkies at shout box.You May choose the Navigations up there to to know more .

Updates ◕ ‿-。
16 November our class will make some farewell party !
tokoh negara | Dato’ Maharajalela Pejuang Kebanggaan Perak
Jumaat, 15 Julai 2011 | 9:17 PG | 0 comments

Dato’ Maharajalela Pejuang Kebanggaan Perak

Perjuangan Dato' Maharaja Lela di Perak
Nama sebenarnya ialah Pandak Lam. Beliau menyokong pemerintahan Sultan Abdullah. Mengikut Perjanjian Pangkor 1874, Sultan Abdullah diiktirafkan sebagai Sultan Perak yang sah dengan seorang Residen British sebagai penasihat. Sultan Abdullah menerima J.W.W. Birch sebagai Residen British Perak tetapi Birch terlalu banyak mencampuri hal ehwal adat istiadat orang Melayu.
Birch memulakan tugasnya dengan memperkenalkan banyak pembaharuan secara mendadak tanpa mempertimbangkan perasaan orang Melayu Perak. Beliau turut mencampuri adat resam orang Melayu berikutan tindakannya yang telah menamatkan hak Sultan dan pembesar-pembesar Melayu mengutip cukai tanpa bayaran ganti rugi. Birch juga menamatkan amalan pengabdian dan memberi perlindungan kepada hamba-hamba yang melarikan diri. Tindakannya membangkitkan kemarahan pembesar -pembesar Melayu kerana adat hamba hutang ini merupakan adat resam Melayu lama.
Memungut cukai merupakan amalan tradisional pembesar-pembesar Melayu Perak tetapi tindakan Birch menyerahkan hak memungut cukai kepada pembesar-pembesar British menimbulkan kemarahan pembesar-pembesar Melayu. Pembaharuan-pembaharuan Birch melemahkan kedudukan Sultan dan para pembesar. Hubungan Birch dengan Sultan Abdullah menjadi tegang. Pembesar-pembesar yang menyokong Sultan Abdullah mendapati kuasa dan hak mereka semakin berkurangan.
Pada Oktober 1875, Sultan Abdullah dipaksa menandatangani surat perisytiharan yang mengandungi persetujuan baginda menyerahkan kuasa pentadbiran kepada British. Perkara ini semakin memuncakkan lagi kemarahan orang-orang Melayu.

Kebangkitan di Perak 1875
Sultan dan pembesar-pembesar Hilir Perak berkomplot untuk membunuh Birch dan mengusir British dari Perak. Sultan Abdullah memerintahkan Dato' Maharaja Lela membunuh Birch. Baginda dan Raja Ismail menyediakan alat-alat senjata untuk mengusir British dari Perak.
Pada November 1875, Birch dibunuh oleh dua orang upahan Dato' Maharaja Lela di Pasir Salak. Tentera British berjaya mengawal kebangkitan orang Melayu di Perak dan menawan Pasir Salak pada 15 November 1875. Semua orang yang terlibat dalam pembunuhan Birch ditangkap. Dato' Maharaja Lela dan Tok Sagor dijatuhkan hukuman gantung di Matang . Sultan Abdullah, Orang Kaya-kaya Menteri dan Ngah Ibrahim pula dibuang negeri ke Pulau Seychelles.

Kesan Penentangan
Kegagalan penentangan orang Melayu di Perak menunjukkan British lebih kuat. Terdapat juga orang Melayu Perak bekerjasama dengan British. Tanpa penyatuan semua pembesar Melayu dan penduduk Perak, perjuangan menentang kuasa penjajah berakhir dengan kegagalan. Peristiwa pembunuhan Birch menyebabkan British lebih berhati-hati dalam melantik seorang Residen baru yang lebih cekap dan berpengalaman. Sir Hugh Low dilantik sebagai Residen British yang kedua di Perak.

Label:


tokoh negara | Yamtuan Antah Mempertahankan Seri Menanti
| 9:13 PG | 0 comments

Yamtuan Antah Mempertahankan Seri Menanti


Yamtuan Antah
Yamtuan Antah menentang penempatan seorang Penolong Residen British di Sungai Ujong. Beliau khuatir British akan meluaskan kuasanya ke kawasan-kawasan di sekitar Sungai Ujong. Kapten Tatham dihantar ke Sungai Ujong untuk bertugas sebagai Penolong Residen British setelah Dato' Kelana meminta bantuan dan perlindungan British.
Pada 1875, perlantikan Yamtuan Antah sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti tidak diiktiraf oleh Dato' Kelana kerana beliau telah berkuasa sejak 1874. Yamtuan Antah turut bertindak balas dengan tidak mengiktiraf Dato' Kelana sebagai pemerintah Sungai Ujong. Satu pergaduhan berlaku antara Yamtuan Antah dengan Dato' Kelana. Pergaduhan ini berlaku berikutan tuntutan Dato' Kelana ke atas Terachi yang dianggap kawasan di bawah kekuasaannya. Dengan bantuan tentera British, Dato' Kelana dapat menewaskan Yamtuan Antah. Tengku Antah terpaksa berundur ke Bukit Putus. British seterusnya menawan Bukit Putus dan menguasai Kuala Jempol serta Terachi pada bulan Disember 1875.
Maharaja Abu Bakar dari Johor menasihati Yamtuan Antah supaya berdamai dengan British. Pada akhir 1876, Yamtuan Antah menandatangani satu perjanjian dengan British. Beliau diiktiraf sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti dan jajahan takluknya iaitu Johol, Jempol, Terachi, Ulu Muar, Inas dan Gunung Pasir.

Label:


tokoh negara | Dato Bahaman Pahlawan Pahang
| 9:07 PG | 0 comments

Dato Bahaman Pahlawan Pahang

Dato' Bahaman - Penentangan British di Pahang
Dato' Bahaman adalah seorang pembesar yang penting dalam kerajaan Pahang. Beliau dilantik sebagai Orang Kaya Semantan kerana jasanya kepada Bendahara Wan Ahmad dalam perang saudara tahun 1857 hingga 1863. Pada tahun 1888, J.P. Rodger dilantik sebagai Residen British di Pahang dan memperkenalkan jawatan 'Pemungut dan Majistret'. Para pembesar Melayu menentang pengenalan sistem Residen di Pahang. Penentangan ini berpunca daripada soal kehilangan kuasa dan hak keistimewaan yang mereka alami. Berdasarkan sistem Residen, para pembesar Melayu dilarang mengutip cukai, menyimpan hamba abdi dan cukai ke atas tanah pula dikenakan. J.P. Rodger melantik pegawai-pegawai British yang dikenali sebagai Pemungut dan Majistret untuk mentadbir daerah-daerah di Pahang. Tindakan Rodger ini menimbulkan kemarahan pembesar-pembesar Pahang. Pembesar yang mula-mula menentang penjajah British di Pahang ialah Dato' Bahaman. Kehilangan kuasa Sultan dan hak-hak istimewa pembesar Melayu merupakan sebab terpenting meletusnya kebangkitan Pahang.

Kebangkitan di Pahang
Kebangkitan ini diketuai oleh Dato' Bahaman. Kebangkitan di Pahang berlaku pada pertengahan Disember 1891. Ini berikutan tindakan Dato' Bahaman menyerang pasukan polis yang menahan pengikut-pengikutnya atas kesalahan memungut hasil hutan tanpa kebenaran pentadbiran baru.
Dato' Bahaman kemudiannya menyerang balai polis di Lubuk Terua dan menawan Temerluh. Penyertaan Tok Gajah dalam kebangkitan ini adalah kerana British tidak menambahkan elaunnya. Anaknya, Mat Kilau yang anti-British turut menyertai kebangkitan ini. Kebangkitan di Semantan merebak ke daerah-daerah lain.
Pada pertengahan Jun 1894, para pejuang Pahang menyerang sebuah balai polis di Kuala Tembeling dan membunuh lima orang anggota polis. Mereka kemudiannya berundur ke Jeram Ampai yang berdekatan dengan Kuala Tembeling dan menawan Kubu British di sana. Namun, pihak British bertindak balas dengan melancarkan serangan secara besar-besaran terhadap Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya di Jeram Ampai. Pasukan pertahanan British terdiri daripada kumpulan anggota polis Sikh, Perak dan Selangor. Sekali lagi pejuang-pejuang Pahang terpaksa berundur ke Kelantan dan Terengganu. Hugh Clifford dihantar ke negeri-negeri itu untuk memberkas kumpulan penentang tersebut. Namun begitu, pemerintah kedua-dua negeri itu enggan menyerahkan Dato' Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau kepada British. Pihak British mendapat berita bahawa Dato' Bahaman dan sekumpulan pejuang Pahang melarikan diri ke Siam. Pihak British cuba mendapatkan bantuan Siam untuk memburu Dato' Bahaman. Pada 1895, Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya menyerah diri kepada kerajaan Siam.

Label:


tokoh negara | Mat Salleh Menyanggah SBUB
| 9:03 PG | 0 comments

Mat Salleh Menyanggah SBUB

Penentangan Mat Salleh di Sabah.
Nama sebenar pahlawan Mat Salleh ialah Mohammad Salleh. Beliau berketurunan Bajau dan Suluk dan dilahirkan di Inanam. Beliau menjadi pembesar di hulu Sungai Sugut yang merupakan tempat Kompeni Berpiagam sering campur tangan. Rancangan W.C Cowie, Pengarah Urusan Syarikat Berpiagam Borneo Utara untuk menjalankan pembangunan secara besar-besaran menyebabkan penderitaan rakyat. Berbagai jenis cukai telah dikenakan oleh Syarikat Berpiagam. Perluasan kuasa Syarikat Berpiagam juga telah menyekat kebebasan pembesar-pembesar tempatan. Oleh itu, beliau telah melancarkan penentangan secara besar-besaran terhadap syarikat dari tahun 1894 hingga 1900. 

Penentangan Mat Salleh meletus pada tahun 1894 apabila polis memaksa Mat Salleh menyerahkan pengikut-pengikutnya yang terlibat dalam pembunuhan dua orang Dayak di Sungai Sugut. Pasukan Kompeni telah menyerang dan membakar perkampungan Mat Salleh di Pulau Jambangan kerana keengganannya mematuhi arahan mereka. Mat Salleh sempat melarikan diri ke Lingkabau dan membina sebuah kubu di sana. Pada tahun 1897, Mat Salleh bertindak balas dengan menyerang dan membakar pelabuhan Kompeni di Pulau Gaya. Beliau berjaya memusnahkan pelabuhan tersebut. Pertempuran terus berlaku apabila Inggeris menyerang balas pada tahun 1897 di Sungai Inanam yang menyebabkan Mat Salleh melarikan diri ke Ranau.
Wiliam Cowie berpendapat keadaan yang tidak stabil itu perlu ditamatkan. Beliau mengesyorkan perdamaian diadakan. Mat Salleh setuju menghadiri rundingan perdamaian yang diadakan oleh Cowie di Menggatal. Pada bulan April 1898, Mat Salleh setuju menamatkan permusuhan dan dibenarkan mentadbir kawasan Tambunan dengan bebas. Malangnya Kompeni mungkir janji dan mengambil alih kuasa di Tambunan lalu perang tercetus sekali lagi yang menyebabkan Mat Salleh tertembak dan meninggal dunia.

Label:


tokoh negara | Antanom Pahlawan Anak Rimba Berjiwa Besar
| 8:57 PG | 0 comments

Antanom Pahlawan Anak Rimba Berjiwa Besar

Sebagaimana yang tercatat dalam sejarah mengenai perjuangan Antanom menggerakkan pemberontakan Rundum menentang penjajah pada tahun 1915 yang ditulis oleh sejarawan Barat; ada fakta yang perlu dibetulkan dari segi nama sebenarnya yang memimpin pemberontakan itu. 
Menurut tradisi orang-orang Inggeris, mereka lazimnya menyebut nama keluarga daripada nama peribadi. Orang yang memimpin pemberontakan Rundum itu ialah anaknya bernama Ontoros dan bukan Antanom bapanya. Disinilah berlakunya kekeliruan fakta. Bagaimanapun, oleh kerana nama Antanom sudah terkenal dan tercatat dalam sejarah tanahair, buku yang akan terbit mengenai pemberontakan itu mengekalkan nama Antanom itu sebagai Ontoros. 
Antanom atau Ontoros dilahirkan di kawasan " Masinpunon " sungai Salarom pada tahun 1885 dan berumur dalam lingkungan 30 tahun ketika pemberontakan itu dilancarkan. 
Antanom adalah anak keturunan Suku Murut Tagol dari golongan bermartabat mengikut adat istiadat kaum murut. Dia dibesarkan dalam zaman daerah kampungnya dilanda oleh persengketaan kaum dan oleh ancaman pemburu kepala kaum Dayak dari kawasan perbatasan atau dikenali dengan istilah " Pengayau ". 
Didikan yang diterimanya ialah mengenal kehidupan rimbanya dan bermain senjata. Jiwanya dibentuk agar menjadi seorang kalawon atau pahlawan dan semangat sedia berkorban telah disemai dalam hidupnya supaya bertanggungjawab melindungi keluarga dan kaumnya. 
Orang pengecut tidak ada tempat dalam dunia rimba. Didalam keadaan persekitarannya bergolak oleh permusuhan kaum yang berpunca dari hutang darah, Antanom/Ontoros tidak ada pilihan, selain daripada berwatak keras dan berani. Jika pun dia menjadi jahat dari kacamata Inggeris, kerana tidak tunduk kepada kuasa mereka, bukanlah kerana Tuhan membentuknya menjadi orang ganas, tetapi suasana persekityarannya yang memaksa Antanom/Ontoros bertindak demikian. 
Perwatakan Antanom/Ontoros yang berbadan tegap berambut panjang itu, bila lengkap berpakaian tradisi, bercawat dengan tombak ditangan dan Pailang tersisip dipinggang, dia kelihatan gagah dan mengerunkan. Sikapnya tegas dan tenang dalam menghadapi bahaya. Bila dia telah memutuskan sesuatu, dia akan kotakan kata-katanya dan bertindak dengan penuh keazaman. 
Antanom dikagumi bukan saja kerana kehebatannya menggerakkan pemberontakan menentang Kompeni Inggeris itu, tetapi lebih kepada kewibawaannya menyatupadukan kaumnya yang ketika itu sedang dilanda sengketa dan perpecahan. Inggeris sendiri mengakui keistimewaan Antanom mendamai dan menyatupadukan suku-suku Murut yang bermusuhan itu. 
Faktor yang menyebabkan tercetusnya penentangan kaum Murut terhadap Kompeni Inggeris didorong oleh beberapa sebab yang telah terkumpul dan menjadi bara. Sejak tahun 1909 gerakan menentang Inggeris sudah dimulakan oleh kaum Murut, tetapi setelah dua orang pemimpinnya terbunuh, Linggam dan Melayak, gerakan penentangan itu terhenti buat sementera waktu. Api yang tidak menjilat batang, daun dan ranting; tidak bererti api tidak bersembunyi dibawah tanah memakan akar. 
Kemarahan dan kegelisahan kaum Murut terhadap Kompeni Inggeris berpunca dari empat perkara utama. Hak mereka dicerobohi, bila ramai daripada pedagang hasil hutan dibenarkan mengutip hasil hutan di pedalaman. Mereka dijadikan buruh paksa membina jalan denai ( Jalan Kuda ) dan merentang kawat telegraph antara Tenom ke Rundum tanpa upah. Upah yang diberikan kepada mereka sekadar rokok tembakau sahaja. Mengenakan cukai kepala, padi dan tapai juga menyumbang kepada kemarahan mereka. Semuanya ini pada pandangan mereka adalah tidak wajar. Kehidupan mereka yang merdeka dan bebas di kawasan belantara luas itu telah terganggu. 

Keadaan bertambah buruk lagi pada tahun 1910 apabila Kompeni Inggeris menghantar buat pertama kalinya seorang Pegawai Daerah Mazwell Hall, membuka setesen di Rundum, sebagai langkah menyekat kegiatan memburu kepala. 
Seramai tidak kurang 900 orang kaum Murut dari beberapa kawasan, termasuk Tenom, Keningau, Pensiangan dan perbatasan daerah Borneo Belanda, telah menyertai gerakan pemberontakan itu. Beberapa buah kubu pertahanan telah dibina di Selangit sebagai kubu induk atau digelar Silar Pinikit, diikuti oleh beberapa buah kubu lagi di Menining ulu sungai Telokoson, Kubu Liohon, Kubu Impal dan Kubu Salang. Kubu-kubu ini dibina sekitar tahun 1913 sehingga 1915 dengan paduan tenaga seluruh kaum Murut di kawasan Pedalaman. Serangan ke atas setesen Rundum merupakan serangan pramasa. Antanom/Ontoros sebenarnya tidak mahu melancarkan serangan terburu-buru, kerana banyak lagi kubu mereka belum siap dibina. 
Dalam pertempuran di kubu induk mereka, Antanom/Ontoros diperdaya dengan gencatan senjata dan niat untuk berdamai, tetapi sebaliknya mata-mata upahan Inggeris telah memenggal kepalanya. Bagaimanapun, banyak fakta yang sebenar berlaku, telah dipesongkan oleh sejarawan Barat. Kalaupun bukan dengan sengaja, niat melindungi maruah Empayar British itu tetap ada, sehingga segala fakta menjadi kabur.

Label:


tokoh negara | Haji Abdul Rahman Limbong
| 8:50 PG | 0 comments

Haji Abdul Rahman Limbong
Latar Belakang,
Nama lengkapnya ialah Haji Abdur Rahman bin Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Qadir atau lebih dikenali sebagai Haji Abdul Rahman Limbong. Lahir tahun 1285 H/1868M, meninggal dunia di Mekah, 1347 H/1929M. Datuk neneknya berasal dari Patani dan Terengganu.

Haji Abdul Rahman Limbong mendapat pendidikan asas ilmu-ilmu Islam sejak kecil di Mekah. Di antara gurunya ialah Haji Tun Muhammad, salah seorang ayah saudaranya. Ketika pulang ke Terengganu beliau mendapat pendidikan dari Haji Ya’qub dan Haji Musa yang tinggal di Paya Bunga dan seterusnya daripada Tok Ku Paloh.

Haji Abdul Rahman Limbong juga seperti gurunya Tok Ku Paloh, adalah seorang pengamal Tarikat Sammaniyah.

Pendakwah

Setelah menguasai ilmu yang padu dan memadai, Haji Abdur Rahman Limbong aktif mengajar masyarakat di Hulu Terengganu. Kitab-kitab yang beliau ajar meliputi beberapa disiplin ilmu, antaranya ialah al-Ajrumiyah hingga kepada Mutammiman dan Tashil Nail al-Amani mengenai ilmu nahu, semuanya dalam bahasa Arab. Matn Umm al-Barahin, mengenai ilmu tauhid. Untuk lebih memantapkan juga diajarkan kitab-kitab tauhid bahasa Melayu, yang pasti tidak diabaikan ialah Faridah al-Faraid dan ad-Durr ats-Tsamin.

Kitab fekah bahasa Arab yang pernah diajarkan oleh Haji Abdur Rahman Limbong ialah Kitab Tahrir dan ilmu tasawuf ialah Hidayah as-Salikin dan ad-Durr an-Nafis kedua-duanya dalam bahasa Melayu.

Selain mengajar, Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang ulama yang suka mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri di dalam mengembangkan syiar Islam. Antara tempat yang pernah menerima kunjungan beliau adalah Beserah dan Kuantan di Pahang, Kelantan, Patani, Kedah, Sambas di Kalimantan, Jambi dan Riau di Sumatera dan Brunei.

Dalam pelayaran di laut, Haji Abdur Rahman Limbong menggunakan perahu buatan orang Terengganu sendiri. Beliau berlayar bersama-sama dengan murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli pelayaran pada zaman itu, bahawa mereka telah menggunakan perahu-perahu yang berukuran besar yang boleh dimuat barang-barang antara 100 hingga 350 tan.

Pejuang

Dalam tahun 1920-an, Inggeris campur tangan untuk mentadbir tanah di lokasi Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka oleh rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris.

Sungguhpun Haji Abdur Rahman Limbong seorang ahli sufi, namun beliau juga bijaksana dalam selok belok persoalan dunia. Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang sufi yang pernah menjadi peguam. Ini dapat dibuktikan dengan berkali-kali beliau berhujah di mahkamah kerana membela rakyat yang disaman oleh pihak pemerintah Inggeris.

Haji Abdur Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya di mahkamah bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri dan adalah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama.

Dibuang Negeri

Walau bagaimanapun, menurut laporan oleh H. W. Thomson dan J. L. Humphreys, Haji Abdur Rahman Limbong dan pengikutnya dilabel sebagai sebagai penderhaka kepada kerajaan Terengganu. Akhirnya Haji Abdur Rahman Limbong ditangkap dan dibuang ke Singapura dan selanjutnya dibuang ke Mekah dalam tahun 1928. Setahun kemudian, ulama pejuang Islam berbangsa Melayu itu meninggal dunia di sana.

Label:


tokoh negara | Tok Janggut-pejuang jihad
| 8:43 PG | 0 comments

 Tok Janggut-pejuang jihad
Nama sebenar Tuk Janggut ialah Haji Mat Hassan bin Panglima Munas. Beliau mendapat pendidikan di Mekah dan mahir bersilat. Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran.
Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan tradisional di negeri Kelantan. Antara yang paling sensitif ialah mengenai pengenaan cukai kepala sebanyak RM1.00 seorang setahun, pokok buah-buahn sebanyak 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung.
Pada 29 April 1915, pentadbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff iaitu seorang pegawai tadbir Pentadbiran British yang berasal daripada Singapura, menggantikan raja yang berkuasa di daerah itu.
Pertelingkahan mengenai cukai dan pengurusan pengutipan cukai membuatkan Haji Mat Hassan (Tuk Janggut) enggan membayar cukai. Encik Latiff mengarahkan satu pasukan polis yang diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib untuk menangkap Tuk Janggut pada 29 April 1915. Dalam satu pergelutan yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah ditikam oleh Tuk Janggut lalu terbunuh, Tuk Janggut telah menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir Puteh.
Encik Latiff pula telah melarikan diri melalui ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915. Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh.
Kebangkitan Tuk Janggut menyebabkan Sultan Kelantan yang memerintah pada masa itu berasa terancam dan serba salah. Atas Desakan Pegawai Penasihat British pada masa itu Sultan Kelantan terpaksa menganggap Tuk Janggut sebagai seorang penderhaka. 
Pada hal Tuk Janggut bangkit menentang atau melawan pentadbiran British yang menggunakan undang-undang cukai baru di seluruh Kelantan, termasuk Pasir Putih. Dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Tuk Janggut telah terkena tembak lalu meninggal dunia. 
Mayat Tuk Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang memakan masa satu hari. Mayat beliau digantung songsang (kaki di atas dan kepala di bawah)beberapa hari di Padang Bank (Padang Merdeka).Kemudian mayatnya itu telah ditembak oleh sepasukan pihak British sehingga putus dua badannya. Selepas itu mayatnya dibungkus dan dibawa dengan perahu ke Pasir Pekan untuk dikebumikan.

Label:


« Older posts |
 Say Hello | ✚Follow//Dashboard |