Perdana Menteri Malaysia keempat
Perdana Menteri Malaysia keempat
DATUK Seri Dr. Mahathir bin Mohamad dilahirkan pada 20 Disember 1925 di Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Bapanya, Mohamad bin Iskandar adalah guru bahasa bahasa Inggeris dan guru besar pertama sekolah Inggeris di Alor Setar. Dr. Mahathir adalah anak bongsu dari sembilan adik beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak dan seterusnya di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Pada tahun 1948, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Universiti Malaya Singapura dan lulus dengan Ijazah MBBS pada tahun 1953. Setelah lulus, Dr. Mahathir menjadi doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang dan kemudiannya bertugas sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar, Pulau Langkawi dan Perlis. Pada tahun 1957, beliau meninggalkan perkhidmatan perubatan dan membuka kliniknya sendiri yang dikenali sebagai MAHA Klinik di Alor Setar dan merupakan klinik anak Melayu yang pertama di bandar itu. Penglibatan Dr. Mahathir dalam politik bermula pada tahun 1945 apabila beliau aktif dalam dalam beberapa kesatuan antaranya Saberkas, Kesatuan Pemuda Melayu Kedah dan akhirnya dalam UMNO. Dr. Mahathir buat pertama kalinya bertanding dan memenangi pilihan raya umum sebagai calon Perikatan bagi Kawasan Parlimen Kota Setar Selatan pada tahun 1964. Pada pilihan raya umum 1969 yang mencetuskan rusuhan kaum, Dr. Mahathir tewas di tangan calon PAS. Beliau seterusnya dipe- cat dari UMNO kerana perselisihan pendapat dengan pucuk pimpinan UMNO. Pada masa ini beliau telah menghasilkan bukunya The Malay Dilemma bagi menerangkan masalah orang-orang Melayu dalam konteks perpaduan negara. Beliau diterima semula menyertai UMNO pada 7 Mac 1972 dan dilantik menjadi Ahli Dewan Negara pada tahun 1973. Dalam pilihanraya 1974, beliau bertanding di Kawasan Parlimen Kubang Pasu atas tiket Barisan Nasional dan menang tanpa bertanding. Berikutan dengan kemenangan itu, Dr. Mahathir dilantik menjadi Menteri Pe- lajaran oleh Tun Abdul Razak. Sepanjang menjadi Menteri Pendidikan, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi pertama Majlis Pelajaran Tinggi yang ditubuh pada 1966 seterusnya sebagai Ahli Majlis Penasihatan Pelajaran Tinggi dan juga pernah menjadi Ahli Universiti Court, Universiti Malaya. Apabila Tun Abdul Razak meninggal dunia pada awal tahun 1976, Tun Hussein Onn yang menjadi Perdana Menteri Malaysia melantik Dr. Mahathir sebagai timbalannya. Walaupun mejadi Timbalan Perdana Menteri, tugas beliau sebagai Menteri Pelajaran dikekalkan dan pada 1978 beliau bertugas sebagai menteri di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian. Berikutan peletakan jawatan Tun Hussein sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981, Dr. Mahathir yang pada ketika itu menang kerusi Timbalan Presiden UMNO, secara automatik menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat.
Label: tokoh negara
« Older posts | Newer posts»