◕‿◕ ◕‿◕ ◕‿◕ ◕‿◕
Welcome Buddies !
Hello and welcomes to Tokoh Sejarah a.k.a Tokoh Dalam Kenangan. Hope this informations can helps you.May leave you linkies at shout box.You May choose the Navigations up there to to know more .

Updates ◕ ‿-。
16 November our class will make some farewell party !
tokoh negara | Sharif Masahor
Jumaat, 15 Julai 2011 | 8:38 PG | 4 comments


Angkatan Gabenor Sarikei berjuang habis-habisan usir penjajah
PADA 1855, Gabenor Sarikei, Sharif Masahor bersama pengikutnya yang menaiki 150 perahu menuju ke Mukah, Sarawak dengan keinginan membara.
Dia bersama pengikutnya akan menyerang daerah itu untuk mengusir Pangeran Matusin yang menyokong usaha James Brooke menjajah satu demi satu daerah di Sarawak termasuk ke daerah yang diperintahnya iaitu Sarikei.
Baginya, tindakan Brooke itu sudah melampau. Lelaki itu pada asalnya hanya seorang pendatang asing di kepulauan Borneo tetapi kini bangsa kulit putih itu mahu menjadi raja di tanah orang.
Selepas satu, satu lagi daerah di Sarawak ingin dijajah Brooke hingga kemerdekaan Sarikei yang sebelum itu makmur dan aman diperintah Sharif Masahor ingin ditakluki lelaki asing itu.
Sudah lama dia menjadi Gabenor Sarikei sejak 1849 lagi apabila amanah mentadbir wilayah itu dipertanggungjawabkan Sultan Brunei, Sultan Abdul Mu’mein kepadanya. Sepanjang pemerintahannya, beliau sangat berpengaruh di kalangan orang Melanau di Sungai Rajang dan orang Iban di Sungai Skrang.
Bagaimanapun, kini kewibawaan pemerintahannya tercabar apabila Brooke menceroboh kedaulatan wilayah yang ditadbirnya. Bangsa asing itu membina sebuah kubu di Kanowit yang diuruskan Henry Steel tanpa kebenaran dan pengetahuan Sharif Masahor. Tindakan itu seolah-olah usaha pertama dalam cubaan Brooke untuk menjajah Sarikei.
Beberapa ketika kemudian, daratan Mukah kelihatan di hadapan matanya dan sebaik perahu mereka tiba di pinggiran sungai, Sharif Masahor bersama ratusan askar yang menaiki 150 perahu, terus melompat keluar.
Bandar Mukah diserang mereka pada hari itu dan selepas beberapa lama bertempur, angkatan perang Sharif Masahor berjaya menguasai bandar itu seterusnya mengusir keluar Pangeran Matusin.
Bagaimanapun, serangan pahlawan Melayu Sarawak terhadap Pangeran Matusin yang menyokong Brooke menyebabkan bangsa asing itu bertindak balas.
Khuatir kemungkinan penentangan Sharif Masahor akan menjejaskan usaha mereka untuk menjajah serta memerintah Sarawak, Brooke segera mengumumkan yang Sharif Masahor tidak lagi berkuasa di Sarikei dan wilayah itu berada di bawah pemerintahan mereka.
Tindakan penjajah itu menambahkan lagi api kemarahan dan dendam pahlawan itu terhadap Brooke. Sharif Masahor bertekad untuk berjuang habis-habisan bagi mengusir bangsa asing itu dari bumi Sarawak demi membela tanah air tercinta.
Dalam perjuangannya itu, beliau beroleh pakatan daripada seorang lagi pembesar Sarawak iaitu Datu Patinggi Abdul Ghapur dari Kuching. Datu Patinggi Abdul Ghapur memang berdendam dengan penjajah itu lantaran Brooke sudah menjajah wilayah pemerintahannya sebelum itu.
Seterusnya mereka mula merancang strategi bagi menjayakan hasrat memerdekakan bumi Sarawak daripada penjajahan bangsa asing itu. Sasaran pertama mereka ialah menyerang kepentingan Brooke di Sarikei iaitu kubu bangsa asing itu di Kanowit yang diuruskan Henry Steel.
Seterusnya pada Jun 1859, diketuai pahlawan Melanau iaitu Sawing dan Salakai, kubu Brooke itu diserang menyebabkan dua pegawai bangsa asing iaitu Steel dan Charles Fox, terbunuh.
Serangan dan pembunuhan dua pegawai mereka menyebabkan Brooke tersentak. Kejadian mengejutkan itu segera tersebar di kalangan penduduk British di Sarawak. Takut mereka akan menjadi sasaran amukan penduduk tempatan, ramai orang Eropah mula meninggalkan Sarawak.
Kebangkitan penduduk tempatan bagi menyerang mereka menyebabkan Kerajaan Brooke mula gusar lalu mereka segera bertindak. Pahlawan tempatan yang terbabit dalam serangan itu segera diburu.
Sepuluh yang ditahan dikenakan hukuman bunuh tetapi Kerajaan Brooke gagal mengambil tindakan terhadap Sharif Masahor kerana tidak memiliki bukti yang kukuh untuk mengaitkan pahlawan itu sebagai perancang utama serangan berkenaan.
Gabenor Sarikei dapat bantuan 2 pemimpin
KEJAYAAN serangan pertama itu menyebabkan Sharif Masahor dan Datuk Patinggi Abdul Ghapur mula merancang serangan seterusnya. Kali ini, mendapat bantuan daripada seorang lagi pemimpin tempatan iaitu Pangeran Temenggung Hashim Jalil dari Sadong.
Sasaran mereka pada serangan kali ini ialah Kuching dan perancangan segera diatur - Pangeran Temenggung Hashim Jalil akan memimpin pasukannya menyerang menggunakan jalan darat dari Pontianak, Kalimantan manakala pasukan Sharif Masahor akan mara dari Sarikei dan menyerang dari arah laut.
Bagaimanapun, perancangan itu ‘bocor’ dan diketahui Charles Brooke menyebabkan penjajah itu meminta bantuan Belanda untuk menahan Datu Patinggi Abdul Ghapur. Tokoh pahlawan itu kemudian ditangkap dan dipenjarakan di Betawi seterusnya meninggal dunia di sana.
Penahanan sekutunya itu tidak melemahkan semangat juang Sharif Masahor. Pahlawan itu meneruskan rancangan serangan mereka. Bersama pengikut setianya, beliau mara untuk menyerang Kuching pada Februari 1860.
Akan tetapi, serangan pada kali itu sememangnya sudah dijangka Kerajaan Brooke menyebabkan mereka sudah membuat persediaan bagi menghadapi tentangan itu.
Seterusnya pertempuran hebat berlaku di Sungai Sadong. Pahlawan tempatan menentang hebat tanpa gentar tetapi mereka akhirnya gagal mengatasi kekuatan angkatan perang Kerajaan Brooke.
Kapal dan perahu milik pasukan Sharif Masahor ditenggelamkan manakala 64 pengikutnya terbunuh menyebabkan pahlawan itu terpaksa berundur ke Mukah dan mendapatkan perlindungan daripada iparnya, Pangeran Nipa.
Penjajah terus memburu tokoh berkenaan dan akhirnya mereka dapat mengesan kedudukan Sharif Masahor. Satu angkatan perang dikerahkan menyerang Mukah bagi menangkap Sharif Masahor tetapi usaha penjajah itu gagal kerana kekuatan kubu Pangeran Nipa cukup kuat untuk ditembusi.
Tertekan kerana masih gagal menahan pahlawan Melayu Sarawak itu menyebabkan James Brooke belayar menggunakan kapalnya iaitu ‘Rainbow’ bagi menghadap Sultan Brunei dan memaksa sultan itu menyerahkan Mukah yang berada di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei, kepadanya.
Sebaik memperoleh Mukah daripada Kesultanan Brunei, James Brooke terus memburu Sharif Masahor sehingga pahlawan itu akhirnya ditangkap. Beliau dihukum buang negeri ke Singapura pada 1861.
Perjuangan sucinya bagi membela tanah air gagal dan Sharif Masahor meninggal dunia di Singapura iaitu satu tempat yang amat asing bagi dirinya pada 1890.
Bagaimanapun, semangat dan jasa perjuangan beliau terus kekal diingati melewati masa dan namanya terus terpahat dalam sejarah tanah air sebagai seorang pejuang kemerdekaan menentang penjajah.


FAKTA: Rentetan penentangan Sharif Masahor

1841: Brooke mula menjajah Sarawak

1849: Sharif Masahor dilantik Gabenor Sarikei

1855: Penentangan Sharif Masahor bermula dengan menyerang Mukah

1859: Serangan terhadap kubu Kerajaan Brooke di Kanowit

1860: Pertempuran di Sungai Sadong

1861: Sharif Masahor ditangkap dan dibuang ke Singapura

1890: Sharif Masahor meninggal dunia

Label:


« Older posts | Newer posts»
 Say Hello | ✚Follow//Dashboard |